Berita Berita
Rakyat boleh buat aduan jika GP, klinik pakar swasta gagal beri bil terperinci - KKM

PUTRAJAYA, 15 Mei 2025 – Klinik perubatan am (GP) dan klinik pakar swasta kini diwajibkan mengeluarkan bil terperinci kepada pesakit sebagai langkah mempertingkat ketelusan, selaras dengan arahan pemaparan harga ubat yang mula berkuat kuasa 1 Mei lalu.
Ketetapan itu dimaklumkan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Mohemmad Redzuan Mohemmad Rizal menerusi siaran langsung di saluran TikTok rasmi @MyHealthKKM, bertajuk ‘Mitos dan Fakta Pemaparan Harga Ubat’.
Menurut Mohemmad Redzuan, pesakit berhak dimaklumkan dengan jelas mengenai caj yang dikenakan ke atas mereka, termasuk harga bagi setiap ubat yang diterima.
"Selalunya bil yang diterima pesakit adalah dalam bentuk pakej, sebagai contoh RM15 untuk konsultasi dan RM40 hingga RM50 untuk semua ubat, tanpa perincian."
"Jika pesakit menerima lima jenis ubat, mereka tidak tahu harga setiap ubat terbabit. Sebab itu kami wajibkan bil terperinci, caj konsultasi dan harga setiap ubat perlu disenaraikan dengan jelas," katanya seperti dipetik laman web CodeBlue.
Beliau turut menjelaskan bahawa butiran caj perlu merangkumi semua ubat yang diberi, termasuk ubat semasa prosedur tertentu seperti x-ray, bagi memudahkan pemahaman pesakit terhadap perkhidmatan yang diterima.
Mohemmad Redzuan turut menasihatkan orang ramai supaya membandingkan bil yang diterima dengan senarai harga ubat yang dipamerkan di klinik. Jika terdapat ketidakpadanan harga, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Jika harga tidak sepadan, anda boleh buat aduan kepada KPDN. Mungkin ada sebab tertentu untuk perbezaan itu tetapi KPDN akan menyiasat."
"Gunakan portal aduan KPDN. Itu kaedah paling pantas, mereka biasanya bertindak dalam masa 24 jam," katanya.
Selain itu, kegagalan klinik swasta mematuhi peraturan pemaparan harga ubat juga boleh dilaporkan kepada KKM menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
"Dasar ini masih baharu, dalam tempoh budi bicara ini, penguatkuasaan adalah bersifat pendidikan," ujarnya.
Untuk rekod, arahan pemaparan harga ubat dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), bertujuan meningkatkan ketelusan serta membolehkan pengguna membuat perbandingan harga antara fasiliti kesihatan swasta.
Berita berkaitan
July 6, 2025, 10:50 am
Ibu pejabat PN ditutup selepas tamat tempoh sewaan - Azmin
July 6, 2025, 10:44 am
Empat cedera termasuk kanak-kanak, kereta rempuh tiga motosikal langgar lampu merah
July 5, 2025, 5:46 pm
Calon SPM maut kemalangan dalam perjalanan ke kelas tambahan
July 5, 2025, 5:10 pm
Peniaga air kelapa cedera, gerai dirempuh kereta dipandu warga emas
July 5, 2025, 4:12 pm
Bas ekspres rempuh palang had ketinggian akibat terlalu bergantung aplikasi navigasi
July 5, 2025, 11:10 am
Polis siasat wanita tunggang motosikal lawan arus sambil pegang telefon
July 5, 2025, 10:58 am
Hamzah persoal keputusan kerajaan tidak sambung khidmat Ketua Hakim Negara
July 5, 2025, 10:35 am
Tujuh cedera ringan bas ekspres langgar palang had ketinggian di Nilai
July 5, 2025, 10:12 am
Pelajar tingkatan empat maut motosikal terbabas di Shah Alam
July 4, 2025, 8:51 pm