TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis tembak mati 2 penjenayah disyaki terlibat lebih 70 kes samun di Nilai

By
|
Kongsi
image

NILAI, 16 Mei - Dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam lebih 70 kes samun maut ditembak polis selepas berlaku kejadian berbalas tembakan berhampiran kawasan parkir sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua suspek dikejar polis di sekitar Nilai sebelum berjaya dipintas. Insiden bertukar tegang apabila suspek melepaskan tembakan ke arah polis dan memaksa pihak berkuasa bertindak balas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, berkata kedua-dua suspek berusia 29 dan 40 tahun itu maut di lokasi kejadian.

Menurut beliau, dua laras senjata api yang digunakan suspek turut dirampas dan terdapat kesan tembakan yang mengenai kenderaan pasukan polis, namun tiada anggota yang cedera dalam kejadian tersebut.

“Kumpulan ini aktif menyamun rumah, premis tempat pengumpulan barang syarikat penghantaran dan kedai serbaneka di sekitar Negeri Sembilan, Selangor, Perak serta Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media tengah malam tadi.

Siasatan mendapati suspek berusia 40 tahun mempunyai 76 rekod jenayah lampau berkaitan kes keganasan dan dadah, manakala rakan sejenayahnya memiliki 11 rekod jenayah.

Fadil tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, memandangkan mereka menggunakan senjata api dalam jenayah yang dilakukan.

Katanya, lokasi kejadian dipercayai menjadi salah satu tempat persinggahan kumpulan ini, dan pihak polis kini sedang mengenal pasti lokasi lain yang mungkin dijadikan markas atau tempat persembunyian suspek lain yang masih bebas.

“Susulan kejadian, kami akan meneruskan operasi memburu saki-baki ahli kumpulan dan menjalankan beberapa serbuan serta rampasan berkaitan,” katanya.

+ - reset