TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar pertahan tindakan bentang permohonan pengampunan Najib, tidak pilih kasih

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 16 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mempertahankan keputusannya membentangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB), sambil menegaskan beliau tidak boleh bersikap prajudis terhadap mana-mana individu.

Dalam satu wawancara bersama Al Jazeera, Anwar menjelaskan bahawa setiap pesalah, termasuk Najib, berhak mengemukakan permohonan pengampunan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

“Buat pun saya kena kecam, tak buat pun saya kena kecam.
Jadi akhirnya, anda lakukan perkara yang betul. Apakah perkara yang betul untuk dilakukan? (Menghormati) hak yang diberikan kepada setiap pesalah di Wilayah Persekutuan untuk mengemukakan permohonan (pengampunan),” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau bukan ahli dalam FTPB dan tidak terlibat secara langsung dalam keputusan yang dibuat oleh lembaga tersebut.

“Adakah saya ahli FTPB? Tidak. Adakah pandangan saya diminta? Tidak. Adakah saya memberikan nasihat dari segi komplikasi undang-undang? Ya, tetapi setakat itu sahaja,” katanya.

Beliau menafikan dakwaan bahawa pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap Najib adalah hasil campur tangan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Persepsinya ialah bahawa, di bawah Anwar, hukuman Najib telah dikurangkan separuh, tetapi itu tidak benar,” katanya.

Pada Februari 2024, FTPB mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Anwar turut menyelar sikap sesetengah pihak yang disifatkan sebagai 'pengkritik progresif' kerana terlalu obses terhadap isu Najib, sedangkan banyak lagi kes rasuah lain yang perlu diberi perhatian dan siasatan masih berjalan.

“Proses sewajarnya diteruskan, tetapi persoalannya ialah mengapa obsesi terhadap lelaki ini yang berada dalam penjara? Demi Tuhan, dia berada dalam penjara.

Saya fikir ini adalah helah jahat yang terang-terangan oleh beberapa penyangak ini yang terus menonjolkan Najib berulang kali supaya kes mereka diabaikan,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa tumpuan sewajarnya perlu diberikan kepada pentadbiran negara, pemulihan tadbir urus, pengukuhan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

“Biarkan (kerajaan perpaduan) mentadbir negara ini dan mengembalikan tadbir urus yang betul, kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman; biarkan kami mentadbir negara ini dan tidak dibebani oleh satu obsesi,” ujarnya.

+ - reset