TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kereta musnah terbakar, pemandu terselamat sempat selamatkan diri

By
|
Kongsi
image

BALING 28 Mei - Seorang lelaki berusia 37 tahun bernasib baik apabila sempat keluar menyelamatkan diri sebelum kereta utiliti sukan (SUV) miliknya musnah terbakar hampir keseluruhan dalam kejadian di Jalan Tawar-Kulim malam tadi.

Mangsa yang memandu bersendirian menuju ke Butterworth, Pulau Pinang hanya mampu melihat keretanya dijilat api tanpa sebarang bantuan daripada pengguna jalan raya lain meskipun kejadian berlaku di laluan utama yang sibuk.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 malam.

“Sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Izi Mohamad Yunus Ali bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Setibanya di sana, didapati kebakaran sedang marak dan kenderaan terbakar hampir sepenuhnya,” katanya kepada Media Telus.

Zulkhairi berkata, mangsa memaklumkan bahawa dia terdengar letupan kecil dan menghidu bau hangit dari bahagian hadapan kenderaan sebelum bertindak keluar bagi menyelamatkan diri.

Pihak bomba menggunakan buih khas untuk memadam kebakaran dan turut mendapat bantuan polis bagi mengawal aliran trafik agar tidak berlaku kesesakan.

Operasi pemadaman mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Kebakaran memusnahkan 95 peratus daripada kenderaan tersebut. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” jelas beliau.

Zulkhairi turut menasihatkan orang ramai agar melakukan penyelenggaraan berkala terhadap enjin kenderaan bagi mengelakkan risiko kebakaran dan kejadian tidak diingini. — Media Telus

+ - reset