TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buru suspek langgar lari budak 2 tahun hingga parah di Puchong

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG 4 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah selepas disyaki menjadi mangsa langgar lari melibatkan sebuah motosikal ketika melintas jalan di hadapan Uptown Puchong Night Bazar, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang dipimpin ibunya untuk melintas jalan telah dirempuh oleh motosikal jenis Yamaha Y15, sebelum penunggangnya bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa kini masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kami dimaklumkan, mangsa baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya pada malam kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan pemilik dan penunggang motosikal terbabit.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian menunjukkan mangsa bersama ahli keluarga sedang berjalan menuju ke kawasan tempat letak kereta sebelum insiden berlaku.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Sarjan Ungku Fairuz di talian 011-21004106. 

+ - reset