Berita Berita
Rosmah menang saman fitnah isu ilmu hitam, 'TikToker' diperintah bayar RM100,000

KUALA LUMPUR 8 Julai – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan pemilik akaun TikTok membayar RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor atas dakwaan fitnah yang mengaitkan isteri bekas Perdana Menteri itu dengan amalan ilmu hitam, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah, 74, berikutan kegagalan defendan, Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman dalam tempoh yang ditetapkan.
Ketika membacakan keputusan prosiding taksiran ganti rugi secara dalam talian menerusi Zoom, hakim menyatakan plaintif berjaya membuktikan kelayakan menerima ganti rugi terhadap kenyataan fitnah yang dibuat.
“Setelah menimbangkan semua faktor, mahkamah berpendapat bahawa jumlah keseluruhan RM100,000 adalah satu penilaian yang adil dan seimbang. Ia merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.
“Tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan kerana tiada keterangan kukuh dikemukakan untuk menyokong pemberian tersebut,” katanya.
Rosmah mengemukakan saman pada 19 September 2023 menerusi Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak, menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada Ku Muhammad Hilmie atas kenyataan fitnah yang dibuat melalui video di akaun TikTok ‘CEO Heelmie Fighter’ pada 22 Mac tahun sama.
Dalam afidavit sokongan, Rosmah menyatakan kenyataan fitnah itu telah memusnahkan kredibiliti, nama baik serta reputasinya sebagai figura awam dan penaung kepada beberapa badan amal tempatan.
Rosmah turut memohon agar jumlah ganti rugi mengambil kira status, latar belakang dan pencapaiannya dalam masyarakat.
Pada 28 Mei tahun lalu, beliau memperoleh penghakiman ingkar terhadap defendan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – Media Telus.
Berita berkaitan
September 7, 2025, 10:39 pm
Seorang maut, 3 cedera tertimbus pasir ketika pasang paip di Bota Kiri
September 7, 2025, 10:25 pm
Bersatu sepakat calonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-11
September 7, 2025, 6:01 pm
KPDN mula terima aduan harga barang Mykasih, SARA naik
September 7, 2025, 5:29 pm
Pemandu Audi mabuk ditahan rempuh 2 motosikal polis, seorang cedera di JB
September 7, 2025, 5:15 pm
'Haramkan Tiktok jika terus gagal selesai isu buli siber' - Sivakumar beritahu MCMC
September 7, 2025, 4:44 pm
Armada buat laporan polis, siasat individu sengaja cetus kekecohan PAT
September 7, 2025, 4:14 pm
Azalina diberi 6 bulan sedia draf RUU Anti Buli - Ahmad Zahid
September 7, 2025, 4:01 pm
Beras paling laris ditebus penerima SARA, punca stok cepat habis - Fahmi
September 7, 2025, 3:47 pm
Fenomena 'Blood Moon' hiasi langit malam ini
September 7, 2025, 3:31 pm