TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar gesa anak Mahathir jelaskan kekayaan atau bayar balik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjelaskan sumber kekayaan luar biasa mereka atau memulangkan semula wang kepada kerajaan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Indonesia, Najwa Shihab di Jakarta, Anwar berkata, pengisytiharan aset bernilai berbilion ringgit oleh Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir menimbulkan persoalan besar yang perlu dijawab.

“Saya tidak mahu menuduh tanpa bukti, jadi saya serahkan kepada SPRM. Tapi jika seseorang umumkan ada RM1.2 bilion, dan seorang lagi RM4 bilion, wajar dijelaskan sumbernya atau pulangkan kepada negara,” katanya.

Untuk rekod, SPRM sebelum ini mendedahkan Mokhzani memiliki anggaran aset sekitar RM1 bilion, manakala Mirzan RM246.2 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang dilihat mempertahankan individu berdepan dakwaan kekayaan luar biasa.

“Sepatutnya mereka paling keras menentang rasuah, tapi yang berlaku sebaliknya. Apa perlunya anak perdana menteri kaya berbillion ringgit? Budaya ini mesti dihentikan,” katanya.

Beliau turut menegaskan perjuangan reformasi yang dibawanya bukan sekadar slogan, sebaliknya mesti diterjemah dalam tindakan nyata.

Temu bual itu dibuat sempena lawatan kerja dua hari Anwar ke Indonesia bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-13 bersama Presiden Prabowo Subianto. – Media Telus

+ - reset