Berita Berita
Sisters in Islam gugur nama ‘Islam’, patuh nasihat Sultan Selangor

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pertubuhan hak wanita, Sisters in Islam (SIS), mengambil keputusan menggugurkan penggunaan nama ‘Islam’ dalam semua penerbitan dan pengenalan umum, berikutan nasihat yang dizahirkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perubahan itu diumumkan oleh Pengarah Eksekutifnya, Rozana Isa, yang memaklumkan bahawa keputusan berkenaan telah dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa pada 11 Julai lalu.
Berikutan itu, kumpulan tersebut akan menggunakan nama berdaftar mereka, SIS Forum (Malaysia), sebagai identiti rasmi.
“Walaupun kami menggugurkan perkataan Islam daripada nama pena kami, kami tetap teguh dalam komitmen memperjuangkan kesaksamaan jantina dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam.
“Akhirnya, yang paling penting adalah usaha kami untuk wanita Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rozana turut menjelaskan bahawa langkah tersebut diambil dengan harapan untuk mengakhiri pertikaian panjang berhubung penggunaan nama pertubuhan itu dan membolehkan mereka terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak.
“Malangnya, kerja kami selama ini sering disalah tafsir oleh sesetengah pihak. Kami bukan mencabar Islam, tetapi memperjuangkan undang-undang yang sepatutnya melindungi wanita dalam institusi keluarga,” katanya lagi.
Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai ke atas SIS Forum (Malaysia) kerana statusnya sebagai entiti dan bukan individu.
Rentetan keputusan itu, baginda menitahkan supaya SIS Forum (Malaysia) menghentikan penggunaan nama ‘Sisters in Islam’ dalam apa jua bentuk penerbitan yang dikaitkan dengan pertubuhan berkenaan.
Baginda turut mengingatkan bahawa penggunaan perkataan ‘Islam’ secara tidak wajar boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
Berita berkaitan
August 1, 2025, 10:22 pm
Dakwa KPM cuai, keluarga pelajar lemas di SSTMI ambil tindakan undang-undang tuntut keadilan
August 1, 2025, 10:05 pm
Malaysia setuju beli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 Bilion, tarif AS dikurangkan
August 1, 2025, 6:46 pm
Mayat dijerut tali, kaki dan tangan diikat ditemui berhampiran landasan kereta api
August 1, 2025, 6:27 pm
UTM serah siasatan kematian kadet Palapes kepada pihak berkuasa
August 1, 2025, 6:18 pm
Malaysia akan teliti deklarasi PBB desak Hamas letak senjata – Fahmi
August 1, 2025, 5:21 pm