TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tarif air baharu mulai 1 Ogos, Perak kekal kadar lama bagi pengguna domestik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Julai – Kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos susulan pewartaan struktur baharu tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Kenaikan tersebut melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu, menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini. Bagaimanapun, negeri Perak tidak terlibat dalam pelarasan itu bagi kategori pengguna domestik.

Beberapa negeri turut mengalami perubahan terhadap caj minimum bulanan, antaranya:

  • Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengekalkan kadar RM6.50;

  • Johor mengekalkan kadar RM10.50;

  • Perlis meningkat daripada RM7.20 kepada RM8.80;

  • Kelantan naik daripada RM6.80 kepada RM8.00.

Manakala di Terengganu, pengguna dengan penggunaan air yang tinggi bakal terkesan apabila kadar bagi peringkat penggunaan kedua dan ketiga masing-masing meningkat sebanyak RM0.86 dan RM1.17.

Menurut SPAN, pelaksanaan tarif baharu ini merupakan sebahagian usaha untuk menyelaras struktur tarif air ke arah lebih mampan dan membantu operator air negeri menampung kos operasi serta penyelenggaraan sistem bekalan air secara berkesan.

Kerajaan turut memberi jaminan bahawa semakan ini mengambil kira kemampuan rakyat dan pelbagai langkah mitigasi akan diperkenalkan bagi melindungi golongan berpendapatan rendah daripada terbeban.

Setakat ini, 10 negeri telah mengemukakan permohonan rasmi kepada SPAN untuk semakan semula tarif air domestik, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Pulau Pinang.

Sementara itu, kerajaan negeri Perak hanya menyemak kadar tarif bagi sektor bukan domestik melibatkan industri perkapalan dan komersial, namun mengekalkan kadar sedia ada bagi pengguna domestik.

Pelarasan tarif kali ini merupakan yang kedua selepas semakan pertama pada Februari 2024 yang menyaksikan kenaikan purata antara 22 hingga 29 sen setiap meter padu.

Meskipun tarif air di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebarang perubahan perlu melalui kelulusan Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Langkah ini dijangka memberi ruang kepada operator air negeri untuk mempercepat penggantian paip lama, menaik taraf loji rawatan air dan mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), selain merancang skim bantuan bersasar bagi isi rumah berpendapatan rendah. – Media Telus

+ - reset