TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

243 penumpang bas disaman JPJ Negeri Sembilan kerana tak pakai tali pinggang keledar

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 31 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 243 saman terhadap penumpang bas ekspres dan bas persiaran yang gagal memakai tali pinggang keledar sepanjang bulan ini.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, sebanyak 171 saman dikenakan terhadap penumpang warga asing, manakala 72 saman lagi kepada penumpang tempatan.

“Sebanyak 92 buah bas telah dinaiki oleh anggota JPJ yang menyamar bagi meningkatkan persepsi kemungkinan akan ditahan sekiranya melakukan kesalahan (Perception of Being Caught atau POBC) dalam kalangan pemandu dan penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil operasi penyamaran tersebut menyaksikan sebanyak 179 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

Sementara itu, katanya, operasi pemeriksaan mengejut yang dijalankan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) turut merekodkan 64 saman atas kesalahan sama.

Hanif menegaskan, JPJ akan meneruskan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan tahap kesedaran dan pematuhan peraturan keselamatan jalan raya terus meningkat.

“Pemandu dan penumpang dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar demi keselamatan semua pihak,” katanya.

– Media Telus

+ - reset