TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AS kenakan tarif 19 peratus ke atas Malaysia, rundingan Anwar-Trump berhasil bawa pengurangan

By
|
Kongsi
image

WASHINGTON 1 Ogos – Malaysia dikenakan tarif sebanyak 19 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) berdasarkan satu perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Donald Trump pada 31 Julai 2025.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada pelarasan kadar tarif timbal balas ke atas negara-negara yang belum memeterai perjanjian perdagangan dengan AS.

Dokumen rasmi pelarasan tarif tersebut telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih semalam.

Sebelum ini, kadar tarif yang ditetapkan Trump ke atas Malaysia ialah 25 peratus.

Bagaimanapun, difahamkan satu perbualan telefon antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menjadi faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar itu kepada 19 peratus.

Menurut kenyataan Rumah Putih, negara-negara lain yang belum menerima notis rasmi berhubung pelarasan tarif akan dimaklumkan selewat-lewatnya tengah malam Khamis (waktu AS).

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, berkata pasukan perdagangan AS kini sedang giat berunding dengan negara-negara rakan dagang utama.

"Lebih 200 negara telah menghubungi pasukan perdagangan dan tarif kami. Kami utamakan rakan dagang utama, dan dua pertiga daripada 18 negara utama telah pun menandatangani perjanjian khas," katanya.

AS turut mengumumkan kejayaan memeterai perjanjian perdagangan baharu dengan Korea Selatan, termasuk pelaksanaan tarif 15 peratus ke atas pelbagai sektor seperti automotif.

Sebagai sebahagian daripada konsesi yang dipersetujui, Korea Selatan akan membeli tenaga daripada AS bernilai AS$100 bilion menjelang 2028 dan melabur sebanyak AS$350 bilion dalam industri AS.

Pelaburan besar itu akan menyumbang 90 peratus daripada keuntungannya kepada kerajaan AS, sekali gus membantu pengurangan hutang negara dan menyokong dasar pentadbiran Trump.

Leavitt turut memaklumkan rundingan perdagangan dengan China masih diteruskan dengan kemajuan positif. Susunan yang sedang dibentuk dijangka dapat mengurangkan defisit perdagangan AS sebanyak AS$5 bilion (RM21.35 bilion) tahun ini.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dan Duta Perdagangan, Jamison Greer, baru sahaja menamatkan pusingan ketiga rundingan dengan pegawai China di Geneva. Saluran komunikasi antara kedua-dua negara kekal terbuka.

Langkah-langkah ini menandakan usaha agresif pentadbiran Trump untuk menyusun semula hubungan perdagangan global dengan penggunaan tekanan tarif sebagai alat rundingan utama.

Negara-negara yang belum mencapai persetujuan dijangka perlu membuat keputusan penting sebelum tengah malam ini. – AGENSI

+ - reset