Berita Berita
RM611 bilion diperlukan laksana RMK13 – Anwar

KUALA LUMPUR 31 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa sejumlah RM611 bilion diperlukan bagi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Daripada jumlah tersebut, katanya, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM430 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, manakala GLC dan GLIC dijangka menyumbang RM120 bilion melalui pelaburan dalam sektor strategik.
“Bagi menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi penglibatan sektor swasta, kaedah perkongsian awam-swasta (PPP) akan menyumbang sebanyak RM61 bilion,” katanya semasa membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, lebih separuh daripada peruntukan Kerajaan itu, iaitu RM227 bilion, akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.
Sektor sosial turut diberikan perhatian dengan peruntukan sebanyak RM133 bilion – melibatkan RM67 bilion untuk sektor pendidikan dan RM40 bilion bagi sektor kesihatan.
“Kerajaan juga akan memperuntukkan RM51 bilion bagi sektor keselamatan, manakala RM17 bilion lagi kepada sektor pentadbiran,” ujarnya.
Tambah beliau, agihan strategik ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memacu pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.
“Menjelang 2030, Malaysia bukan hanya berupaya mengeluarkan produk bernilai tinggi, tetapi turut melahirkan rakyat yang bersatu padu, memiliki jati diri utuh serta menghormati kepelbagaian budaya.
“RMK13 harus menjadi milik bersama – melibatkan kerjasama erat antara individu, masyarakat, sektor swasta dan Kerajaan untuk menjayakan visi negara,” katanya. – Media Telus
Berita berkaitan
August 1, 2025, 10:22 pm
Dakwa KPM cuai, keluarga pelajar lemas di SSTMI ambil tindakan undang-undang tuntut keadilan
August 1, 2025, 10:05 pm
Malaysia setuju beli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 Bilion, tarif AS dikurangkan
August 1, 2025, 6:46 pm
Mayat dijerut tali, kaki dan tangan diikat ditemui berhampiran landasan kereta api
August 1, 2025, 6:27 pm
UTM serah siasatan kematian kadet Palapes kepada pihak berkuasa
August 1, 2025, 6:18 pm
Malaysia akan teliti deklarasi PBB desak Hamas letak senjata – Fahmi
August 1, 2025, 5:21 pm