TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rafizi lega 95 peratus hasil usaha di Kementerian Ekonomi dikekalkan dalam RMK13

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 31 Julai – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan rasa lega dan gembira apabila hampir keseluruhan kandungan yang dirancang ketika beliau masih memegang jawatan kekal dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kira-kira 95 peratus daripada perancangan yang dibangunkan sejak awal hingga beliau meletak jawatan masih utuh dalam dokumen berkenaan.

"Semua reformasi besar membabitkan perubahan sistem pendidikan, struktur ekonomi, tumpuan kepada perkara baharu seperti agenda negara menua dan membangunkan sektor ketiga, semuanya dikekalkan.

"Disamping itu, rekayasa ekonomi dimulakan sebelum ini, daripada NETR, KL20, JSSEZ, 'Made by Malaysia', beralih ke ekonomi berasaskan 'consumption powerhouse', CCUS dan yang dibangunkan serta belum diumumkan seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ), semuanya ada.

"Begitu juga beberapa hasil kerja Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuk pelaksanaan 'anti red tape act' (ILTIZAM) dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi turut hadir ke Parlimen hari ini bagi mengikuti pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau dijadual membahaskan dokumen itu sama ada pada Isnin atau Selasa minggu depan.

Selain itu, Rafizi juga akan membincangkan secara mendalam mengenai kandungan RMK13 bersama Dr Muhammad Khalid menerusi podcast YBM pada 8 Ogos ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi, pasukan RMK13 serta kakitangan sokongan yang telah bekerja keras menyediakan dokumen penting itu selama hampir dua tahun.

"Selesailah satu tanggungjawab besar yang saya dan rakan di Kementerian Ekonomi pikul sejak November 2022, iaitu merangka perancangan masa depan lebih baik untuk rakyat Malaysia.

"Tugas mereka lebih mencabar akibat ura-ura rombakan perlu dibuat di saat akhir. Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja.

"Ini bermakna kepemimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik.

"Kita semua ada tugas baharu iaitu memastikan perancangan ini dilaksanakan dengan cekap, sesiapa pun menjadi kerajaan. Doa saya rakyat juga akan mendapat manfaat di masa akan datang," katanya lagi.

Terdahulu, RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri memberi fokus kepada tiga keutamaan dasar utama – tadbir urus yang baik, peningkatan kepelbagaian ekonomi secara menyeluruh dan pembangunan industri Pertumbuhan Tinggi dan Nilai Tinggi (HGHV).

 

+ - reset