TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan perkemas mekanisme ambil guru secara terbuka, lonjak profesionalisme pendidikan – Anwar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 31 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan memperkemas mekanisme pengambilan guru menerusi pelbagai saluran secara terbuka, bagi memastikan hanya calon yang benar-benar layak serta berkomitmen tinggi dalam dunia pendidikan diberikan peluang.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk menjamin kualiti tenaga pengajar selaras dengan aspirasi sistem pendidikan negara.

"Pada masa sama, kerajaan akan terus memperkasa program latihan dan peningkatan kemahiran bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru yang menjadi akar sistem pendidikan negara.

"Tumpuan akan diberikan menerusi latihan, peningkatan, keberkesanan, pedagogi dan kurikulum baru bagi guru-guru," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terus dijadikan penanda aras utama untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi pada peringkat kebangsaan.

Dalam masa sama, kualiti sistem pendidikan negara juga akan dipertingkat agar setanding dengan standard antarabangsa melalui penilaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS).

Sementara itu, kerajaan turut merancang untuk memperkenalkan projek rintis pemberian autonomi kepada beberapa universiti awam terpilih sebagai usaha memperkukuh tadbir urus institusi pengajian tinggi negara.

“Pengantarabangsaan institusi pendidikan tinggi awam turut diperkukuh bagi meningkatkan daya saing institusi di peringkat global,” jelasnya lagi.

 

+ - reset