TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota polis ditikam ketika rondaan di Jalan Pudu, suspek diberkas berhampiran lokasi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 31 Julai – Seorang anggota polis dari Balai Polis Pudu cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki semasa menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di sekitar Jalan Pudu, di sini, pada Khamis.

Difahamkan, insiden berlaku ketika anggota terbabit sedang menjalankan pemeriksaan terhadap suspek di kawasan tersebut.

Menurut sumber, semasa pemeriksaan dijalankan, lelaki berkenaan secara tiba-tiba menikam anggota polis terbabit menggunakan pisau di bahagian perut sebelum melarikan diri.

"Selepas menikam mangsa, suspek terus melarikan diri. Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Anggota polis itu dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk rawatan lanjut," katanya.

Sumber turut memaklumkan bahawa pisau yang digunakan suspek dalam kejadian itu telah dirampas oleh pihak polis.

"Hasil pemeriksaan lanjut, suspek yang berusia 56 tahun dipercayai memiliki 14 rekod jenayah lampau," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

 

+ - reset