TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

STR, SARA, Payung Rahmah diteruskan dalam RMK13 – PM Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Julai – Kerajaan akan meneruskan pelbagai inisiatif bantuan sosial sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif di bawah Payung Rahmah juga akan diperluas bagi memastikan akses makanan pada harga berpatutan kepada rakyat.

"Payung Rahmah juga akan dipergiat melalui program-program utama seperti Jualan Rahmah, Menu dan Kafe Rahmah serta Bakul Rahmah yang membolehkan akses kepada makanan dengan harga berpatutan," katanya semasa pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet, insurans dan takaful mampu milik akan diteruskan, seiring dengan komitmen kerajaan mengekalkan kos sara hidup yang munasabah.

"Kerajaan juga terus memastikan kos pengangkutan awam yang berpatutan. Pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar akan diteruskan," katanya.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada aspek perpaduan dan pembinaan masyarakat inklusif melalui pelbagai pendekatan nilai dan kebersamaan.

"Bagi memperkasa sistem sosial berteraskan insan madani, program seperti Kembara Perpaduan Malaysia akan diteruskan untuk mendekatkan masyarakat berbilang latar melalui pendidikan nilai dan dialog terbuka rentas budaya.

"Manakala, Piagam Harmoni Malaysia akan dibangunkan sebagai panduan utama bagi perhubungan dan keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia," ujar beliau.

Menurut Anwar, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga akan diperkenalkan semula, namun dengan pendekatan baharu yang lebih segar dan sesuai dengan kehendak semasa.

"Identiti nasional akan diperkuat, bukan dengan paksaan, tetapi melalui kefahaman dan semangat kebersamaan," katanya. - Media Telus

+ - reset