TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RMK13: Lima negeri dipilih lonjak hasil makanan tempatan, kurangkan kebergantungan import - PM Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Julai - Kerajaan akan memberi penekanan kepada penghasilan produk makanan tempatan secara berskala besar, terutamanya di lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting memandangkan pergantungan negara kepada bekalan makanan dari luar masih berada pada tahap yang membimbangkan.

"Kebergantungan negara kepada makanan import masih terlalu tinggi. Kelumpuhan bekalan makanan import boleh jadi ancaman kepada negara.

"Bagi mengurangkan risiko terbabit, penghasilan produk makanan dalam negara akan dipertingkat," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Antara langkah yang bakal diambil termasuk mempercepatkan pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan seperti MADA (Kedah dan Perlis), KADA (Kelantan) serta memperluas pembangunan pertanian bersepadu di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.

Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi dalam pembangunan varieti tanaman, teknik pertanian moden serta penggunaan jentera melalui program mekanisasi dan automasi agromakanan.

Aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) akan diperkasa, termasuk adaptasi pertanian pintar dan penggunaan konsep ladang satelit dengan kerjasama antara agropreneur muda, institusi penyelidikan dan pihak industri.

Dalam masa yang sama, sumber import makanan juga akan dipelbagaikan agar negara tidak terlalu bergantung kepada mana-mana negara tertentu, manakala kawalan kemasukan makanan ke dalam negara akan diperketat untuk menjamin keselamatan dan kualitinya.

"Bagi menambah baik rantaian bekalan makanan secara menyeluruh, kecekapan infrastruktur pusat pengumpulan, pemprosesan, penggredan dan pengedaran serta sektor peruncitan berskala kecil dan sederhana akan diperkukuh.

"Minda rakyat harus diubah daripada melihat pertanian hanya salah satu kegiatan sara diri kepada peluang menjana ekonomi yang sangat menguntungkan.

"Segala ikhtiar ini akan meningkatkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan mencecah RM58 bilion menjelang 2030," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar turut menekankan komitmen kerajaan untuk terus memacu pembangunan dalam subsektor agrikomoditi termasuk sawit, getah dan koko.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden seperti automasi, mekanisasi dan robotik serta pelaksanaan inisiatif RDCI dan pensijilan kemampanan akan dipertingkat bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

 

+ - reset