TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tak tolak wujud unsur buli kes kematian Zara Qairina, keterangan 60 saksi termasuk 3 pelajar yang 'dipetik' nama sudah diambil

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 31 Julai – Siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, yang ditemui jatuh dari bangunan asrama baru-baru ini kini memasuki fasa akhir, menurut Polis Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan menyeluruh telah dijalankan termasuk rakaman keterangan daripada 60 saksi terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah, termasuk tiga pelajar yang dikaitkan dengan mangsa.

"Alhamdulillah, buat masa sekarang, kertas siasatan diserahkan ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan juga penelitian akhir sebelum dirujuk kepada Peguam Negara.

"Kenyataan 60 saksi dirakam pasukan siasatan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan juga beberapa keterangan lain," katanya dalam sidang media di IPK Sabah hari ini.

Beliau memaklumkan, fokus siasatan tertumpu kepada dua aspek utama iaitu punca kematian dan keadaan persekitaran sebelum kejadian berlaku.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada 16 Julai lalu, manakala pelajar terbabit disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

"Pada 17 Julai, saya telah berbincang dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abd Rahim sebelum pasukan khas dari IPK digerakkan ke lokasi untuk membantu siasatan.

"Memandangkan pelajar terkesan secara emosi dan trauma, kita turut membabitkan pakar kaunseling dalam sesi rakaman keterangan bagi memastikan siasatan berjalan lancar dan adil," jelasnya.

Berhubung dakwaan terdapat unsur buli dalam kes tersebut, Jauteh berkata pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan namun menyerahkan kepada pihak Bukit Aman untuk analisis terperinci.

"Kita tidak menolak isu buli itu mungkin berlaku. Siasatan juga terarah kepada fakta isu berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menafikan dakwaan kononnya salah seorang anaknya bersekolah di asrama berkenaan dan menegaskan tuduhan itu tidak berasas.

"Tidak pernah ada anak saya bersekolah di sekolah itu. Tuduhan sebegitu tidak wajar dan hanya menambah kekeliruan. Saya tegaskan, tidak ada anak saya yang sedang atau pernah belajar di situ.

"Berkaitan dengan dakwaan bahawa ada anak orang berpengaruh yang bersekolah di sana termasuk diri saya sendiri... saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah itu.

"Jadi ini bererti bahawa ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini," katanya.

Mengulas dakwaan kononnya pelajar terbabit adalah anak kepada individu berpengaruh, beliau berkata perkara itu tidak menjadi fokus siasatan.

"Saya tidak dapat mengetahui secara keseluruhan sebab ramai pelajar di situ. Jadi yang itu kita tidak membuat siasatan berkaitan dengan ini anak siapa," ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa siasatan dilakukan secara profesional dengan mengambil kira sensitiviti pelajar yang menjadi saksi utama dalam kes berkenaan.

"Kita mengambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan ini. Membabitkan 60 saksi dan juga semua saksi ini pun kita tidak dapat ambil secara terus.

"Kita juga memikirkan bahawa saksi-saksi ini adalah pelajar di sekolah itu yang mungkin hanya melihat atau mendengar ataupun berkawan dengan mangsa," katanya lagi.

 

+ - reset