TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu mahu kubur anak digali semula, tuntut keadilan kematian Zara Qairina

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 1 Ogos - "Saya hanya mahu tahu kebenaran. Sejak hari pertama kematian Zara, hati saya tidak pernah tenang.”

Itu luahan pilu Noraidah Lamat, 45, ibu kepada pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia dua minggu lalu selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.

Tanpa sebarang bedah siasat dijalankan sebelum pengebumian pada 17 Julai, Noraidah kini nekad menggali semula kubur anak tunggalnya demi mencari jawapan sebenar atas kematian tragis itu.

“Saya mengarahkan dua peguam untuk memulakan proses exhumation dan bedah siasat. Saya tidak mahu hidup dalam tanda tanya,” katanya ketika ditemui Berita Harian, hari ini.

 

Menurut Noraidah, ketika menerima berita kecemasan pada awal pagi 16 Julai lalu, beliau dalam keadaan terlalu keliru dan trauma sehingga tidak sempat mempertimbangkan soal bedah siasat.

“Saya cuma mahu Zara disemadikan segera. Tapi selepas itu kami sekeluarga mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena.”

Sejak kematian Zara, pelbagai khabar angin tersebar termasuk dakwaan buli dan gangguan di asrama. Noraidah mengakui pernah diberitahu anaknya mengalami gangguan seksual oleh seorang pelajar lelaki.

“Zara pernah melaporkannya kepada guru kaunseling, dan katanya pelajar itu sudah diberi amaran. Tapi saya tidak tahu jika kes itu berulang,” jelasnya.

Noraidah turut terkilan apabila siasatan turut menjurus kepada sejarah silam anaknya di sekolah rendah serta kehidupan keluarga mereka di Sipitang.

“Apa kaitan semua itu dengan apa yang berlaku di sekolah asrama? Zara pelajar cemerlang, dia anak yang ceria, disenangi ramai,” katanya sebak.

 

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan, siasatan kini di peringkat akhir dengan lebih 60 saksi telah dirakam keterangan termasuk tiga individu yang dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’.

Polis juga tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dan telah menyerahkan kes berprofil tinggi ini kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.

“Saya Akan Reda… Jika Itu Takdirnya”

Noraidah berharap segala spekulasi dihentikan dan semua pihak memberi ruang kepada siasatan untuk berjalan secara adil.

“Saya tidak minta lebih. Kalau pun hasil bedah siasat mengesahkan ia kemalangan, saya akan reda. Tapi biarlah ia datang daripada fakta yang sah, bukan sekadar cerita,” katanya.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui parah di bawah bangunan asrama sekolahnya. 

+ - reset