TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tiada rayuan akan dilayan' - Larangan vape dikuat kuasa di Perlis hari ini, premis ingkar akan ditutup serta-merta

By
|
Kongsi
image

 

KANGAR 1 Ogos – Peruncit vape dan rokok elektronik di seluruh Perlis yang masih berdegil meneruskan operasi mulai hari ini bakal berdepan tindakan tegas, termasuk penutupan premis serta-merta.

Presiden Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth, menegaskan bahawa fasa penguatkuasaan penuh kini bermula selepas tempoh hebahan awam berakhir.

“Sebahagian besar premis yang diperiksa semalam sudah menutup operasi dan mempamerkan notis penutupan,” katanya.

Affendi menjelaskan, tiada sebarang kompromi atau lanjutan diberikan kepada mana-mana peniaga yang masih menjual produk terbabit.

“Sekiranya didapati beroperasi, notis penutupan akan dikeluarkan serta-merta dan tindakan penutupan secara paksa akan diambil jika arahan tidak dipatuhi,” katanya.

Menurut beliau, operasi penguatkuasaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis.

Larangan penjualan vape dan rokok elektronik di Perlis diumumkan pada 14 Mei lalu oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Tahun 2022 yang mengisytiharkan penggunaannya sebagai haram.

Perlis kini menyertai Johor, Kelantan dan Terengganu sebagai negeri yang mengharamkan penjualan produk vape secara rasmi.

Larangan di Terengganu juga mula dikuatkuasakan bermula hari ini.

Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk mengekang penyalahgunaan produk nikotin dalam kalangan remaja dan masyarakat umum. 

+ - reset