TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MPKS nafi abaikan nasib peniaga Pasar Awam Sungai Buloh

By
|
Kongsi
image

KUALA SELANGOR 1 Ogos – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengabaikan nasib peniaga di Pasar Awam Sungai Buloh, Jeram yang mendakwa semakin terhimpit hingga terpaksa menutup perniagaan akibat jualan yang merosot.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Jumaat, MPKS menjelaskan bahawa pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan bagi membantu peniaga kekal berdaya saing dalam era digital.

“Sebagai langkah proaktif, MPKS menggalakkan peniaga memasarkan produk secara dalam talian melalui platform PLATS Selangor yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi meluaskan capaian pelanggan dan meningkatkan jualan,” jelas kenyataan itu.

Tumpu aspek kebersihan dan penguatkuasaan

MPKS turut memaklumkan bahawa aspek kebersihan dan pematuhan undang-undang sentiasa diberi perhatian, termasuk melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu Kebersihan Pasar Awam yang telah dijalankan pada 19 Jun lalu.

Operasi itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), serta jabatan dalaman MPKS.

“Ia bertujuan memastikan pematuhan terhadap piawaian kebersihan, prosedur penyembelihan ayam yang sah dan lesen operasi perniagaan,” katanya lagi.

Petak kosong sedang diisi

Mengulas isu penyewaan petak pasar, MPKS memaklumkan bahawa terdapat 78 petak yang ditawarkan untuk kategori sayur, ikan, ayam, daging dan runcit.

“Sehingga Jun 2025, sebanyak 32 petak masih kosong dan proses pengisian sedang giat dijalankan menerusi iklan yang disiarkan secara berkala setiap dua bulan. Kadar sewaan juga rendah dan berpatutan, iaitu antara RM80 hingga RM150 sebulan,” katanya.

Kemudahan dinaik taraf

MPKS turut menegaskan bahawa kerja-kerja menaik taraf kemudahan Pasar Awam Sungai Buloh telah dilaksanakan pada tahun 2023 dan siap sepenuhnya pada Mac 2024.

“Langkah ini bertujuan menjamin keselamatan serta keselesaan peniaga dan pengunjung, selain menunjukkan komitmen MPKS untuk memastikan kemudahan awam berada pada tahap terbaik.”

Tambahnya, pelbagai inisiatif bersepadu akan terus digerakkan bagi memastikan pasar awam tersebut kekal aktif, bersih dan menarik kepada pengunjung.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa ramai peniaga di Pasar Awam Sungai Buloh terpaksa gulung tikar akibat kemerosotan jualan dan ketidakmampuan menampung kos operasi harian. – Media Telus

+ - reset