TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahmad Fadhli mulakan tindakan undang-undang isu karikatur monyet-kambing

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan beliau telah memulakan tindakan undang-undang susulan kontroversi karikatur monyet dan kambing yang dimuat naik di media sosialnya baru-baru ini.

Ahmad Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) telah pun disediakan dan akan dihantar kepada dua individu dalam masa terdekat.

“Satu LOD akan dihantar kepada seorang ahli Parlimen dan seorang lagi kepada pemimpin sayap pemuda sebuah parti politik. Ini langkah awal. Yang lain akan menyusul. Perlahan-lahan, satu-satu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengumpul pelbagai bahan bukti berkaitan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

“Nampaknya isu sudah semakin reda. Bahan-bahan pun sudah banyak dikumpulkan. Jika ada lagi, kita kumpulkan dahulu,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli menerima kritikan hebat selepas memuat naik satu karikatur yang menggambarkan seekor monyet berjubah hakim cuba menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri. Karikatur itu dianggap menyindir peranan Malaysia dalam isu diplomatik membabitkan Thailand dan Kemboja.

Tindakan itu telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan pengguna media sosial yang mendakwa hantaran tersebut memperlekeh usaha Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN. Beberapa laporan polis juga telah dibuat.

Ahmad Fadhli bagaimanapun menegaskan bahawa hantaran itu telah disalah tafsir dan digunakan untuk menyebarkan tohmahan terhadapnya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan mendesak beliau memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja kerana didakwa mencetuskan imej negatif terhadap diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa. - Media Telus

+ - reset