Berita Berita
'Saya tak dibenarkan lihat keseluruhan mayat anak saya' - Ibu rayu siasat kematian anak selepas 3 hari jalani latihan Palapes

IPOH 1 Ogos - Seorang ibu tunggal memohon siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kematian anak lelakinya, Syamsul Haris Shamsuddin, 22, yang meninggal dunia ketika menyertai latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), baru-baru ini.
Dalam laporan Sinar Harian, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa, keadaan fizikal anak sulungnya itu menimbulkan keraguan terhadap punca kematian sebenar yang dimaklumkan sebagai akibat sawan selepas menjalani latihan menembak.
"Saya diberitahu anak saya meninggal dunia pada 28 Julai, jam 4.33 petang. Tetapi bila saya melihat jenazah di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, keadaannya sangat menyedihkan.
"Ada pendarahan dari hidung, leher dan mata, serta lebam di beberapa bahagian badan,” katanya dalam sidang media di pejabat peguam Datuk Naran Singh & Co, hari ini.
Menurutnya, beliau tidak dibenarkan melihat keseluruhan jenazah mahupun merakam gambar di hospital berkenaan.
Ekoran itu, beliau memohon agar bedah siasat dilakukan semula di Hospital Sultan Ismail oleh pakar forensik.
Bagaimanapun, laporan awal bedah siasat masih belum muktamad dan tertangguh atas alasan menunggu hasil analisis makmal kimia yang dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan.
“Kami mahu jawapan yang jelas, bukan penjelasan yang tergantung. Saya hanya mahukan kebenaran. Jika benar anak saya meninggal akibat masalah kesihatan, saya reda. Tetapi jika ada unsur kecuaian atau salah laku, ia perlu didedahkan,” katanya dengan nada sebak.
Ummu Haiman turut memaklumkan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 31 Julai lalu bagi meminta siasatan terperinci terhadap kematian tersebut.
Beliau menggesa pihak polis menemu bual semua pelatih dan individu yang bersama anaknya ketika latihan tersebut berlangsung.
“Anak saya baru masuk universiti tahun lepas, ambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Keselamatan Siber. Baru tiga hari masuk latihan, saya sudah terima jenazahnya,” katanya.
Sementara itu, peguam keluarga, Datuk Naran Singh, berkata keluarga hanya mahu mengetahui kebenaran di sebalik insiden menyayat hati itu dan menuntut agar laporan bedah siasat dikeluarkan segera.
“Kes ini melibatkan seorang pelajar muda dalam latihan rasmi bawah institusi pengajian tinggi. Maka wajar siasatan dilakukan dengan penuh telus dan bebas,” katanya.
Tambah beliau, keluarga Syamsul Haris berharap pihak berkaitan termasuk UTM dan pihak berkuasa tampil memberikan kerjasama penuh bagi menjawab persoalan yang masih belum terjawab.
Berita berkaitan
August 2, 2025, 8:51 am
Polis nafi dakwaan ahli keluarga VIP terlibat kematian Zara Qairina
August 2, 2025, 8:39 am
Tiga warga Bangladesh maut, dua cedera MPV terbabas di LPT1
August 1, 2025, 10:22 pm
Dakwa KPM cuai, keluarga pelajar lemas di SSTMI ambil tindakan undang-undang tuntut keadilan
August 1, 2025, 10:05 pm
Malaysia setuju beli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 Bilion, tarif AS dikurangkan
August 1, 2025, 6:46 pm
Mayat dijerut tali, kaki dan tangan diikat ditemui berhampiran landasan kereta api
August 1, 2025, 6:27 pm
UTM serah siasatan kematian kadet Palapes kepada pihak berkuasa
August 1, 2025, 6:18 pm