TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cikgu sekolah memandu didakwa pegang tangan, paha remaja 17 tahun

By
|
Kongsi
image

 

IPOH 1 Ogos – Seorang pengajar institut memandu berusia 60 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Lim Chin Leong, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki warga emas itu didakwa melakukan perbuatan memegang tangan dan meletakkan tangannya di atas paha mangsa bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah institut memandu di daerah ini sekitar jam 10 pagi pada 7 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah, menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, R Rajasegaran, memohon jaminan minimum diberikan atas alasan penjamin merupakan anak kandung tertuduh yang tinggal bersama serta bekerja sebagai akauntan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mana-mana saksi.

Kes akan disebut semula pada 12 September ini.

+ - reset