TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes pelajar tumbuk guru: SUHAKAM seru layan pesalah kanak-kanak dengan baik, bukan menghukum

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa setiap kanak-kanak yang berdepan pendakwaan jenayah perlu dilayan dengan berperikemanusiaan, tanpa menjejaskan maruah, hak dan potensi mereka untuk pemulihan.

Penegasan itu dinyatakan Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki, susulan laporan kes seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang direman dua hari kerana menumbuk guru lelaki di sebuah sekolah di Kajang, baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun SUHAKAM tidak menafikan kesalahan dilakukan pelajar terbabit, prinsip perlindungan kanak-kanak seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang tempatan dan antarabangsa tetap perlu ditegakkan.

"SUHAKAM faham dengan kesalahan kanak-kanak berkenaan dan bersolidariti bersama guru bahawa segala bentuk keganasan adalah salah dan semua orang berhak berada dalam persekitaran selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Bagaimanapun, SUHAKAM mahu menekankan hak kanak-kanak yang melakukan sebarang kesalahan masih tertakluk dalam Akta Kanak-Kanak 2001, selain terus berpegang pada prinsip penyertaan kanak-kanak seperti digariskan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)."

Beliau menambah, meskipun kes itu dianggap serius, pelajar terbabit masih perlu dilindungi mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, yang melarang sebarang pendedahan identiti atau butiran oleh media atau orang awam terhadap kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah.

"Walaupun kes ini serius, pelajar itu perlu dilindungi mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak yang melarang media mendedahkan sebarang butiran kanak-kanak terbabit dalam prosiding jenayah atau di bawah penjagaan, daripada pendedahan media atau kutukan awam."

"Peruntukan itu mencerminkan semangat Perkara 16 CRC yang menjunjung hak setiap kanak-kanak untuk privasi dan perlindungan daripada gangguan yang menyalahi undang-undang terhadap kehormatan serta reputasi mereka," katanya.

Justeru, SUHAKAM mengingatkan semua pihak termasuk media dan orang awam untuk tidak mendedahkan identiti atau membuat spekulasi terhadap pelajar terbabit, kerana tindakan itu boleh menjejaskan keselamatan dan emosi mereka.

"Pengenalan awam, spekulasi atau fitnah terhadap kanak-kanak bawah umur adalah berbahaya dan mungkin melanggar peruntukan itu."

Dalam masa sama, Farah Nini menggesa kerajaan supaya segera melaksanakan Dasar Pengalihan Hukuman (Diversion Policy) untuk kes-kes yang melibatkan kesalahan kecil oleh kanak-kanak.

Katanya, mekanisme itu membolehkan kes melibatkan pelajar dipindahkan daripada sistem keadilan jenayah kepada pendekatan berasaskan komuniti yang menumpukan kepada pemulihan melalui pendidikan, kaunseling dan bimbingan tingkah laku.

"Pendekatan ini bukan saja mengurangkan risiko penjenayah dan stigma sosial, tetapi juga menangani isu asas seperti trauma, pengabaian atau kesihatan mental."

"Dasar sebegini bukan penafian akauntabiliti, tetapi lebih ke arah keadilan pemulihan dan pemulihan yang terbukti lebih berkesan serta berperikemanusiaan untuk kanak-kanak."

Dalam kenyataan sama, Farah Nini turut menggesa supaya kejadian ini dijadikan peluang untuk menilai semula sistem sokongan tingkah laku sedia ada di sekolah serta tahap keupayaan guru dalam menangani konflik pelajar, khususnya yang melibatkan trauma.

"Insiden sedemikian harus menjadi pemangkin untuk refleksi mengenai isu sistemik yang lebih luas, sekali gus mendorong pertimbangan segera sama ada sekolah mempunyai sistem sokongan tingkah laku yang proaktif dan positif yang mencukupi."

"Pelajar juga perlu mempunyai akses tepat pada masanya kepada perkhidmatan kesihatan mental dan sama ada guru dilengkapi secukupnya dengan penyelesaian konflik dan strategi berkenaan trauma."

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan (KPM), pentadbir sekolah dan semua pihak berkepentingan perlu berganding bahu membentuk sistem sokongan pencegahan yang lebih menyeluruh.

"SUHAKAM turut menggesa Kementerian Pendidikan (KPM), pentadbir sekolah dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memperkukuh sistem sokongan pencegahan holistik yang mengutamakan kesejahteraan pelajar dan pendidik."

"Malaysia perlu bergerak melangkaui tindak balas punitif dan menerima sistem keadilan kanak-kanak yang mencerminkan belas kasihan, kesaksamaan dan kepentingan terbaik kanak-kanak itu."

"Malah, SUHAKAM kekal komited bekerjasama dengan kerajaan dan masyarakat sivil bagi merealisasikan wawasan ini," katanya.

+ - reset