TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

TMJ pantau isu air Johor, cadang ambil alih aset daripada Kerajaan Persekutuan

By
|
Kongsi
image

 

 

JOHOR BAHRU 1 Ogos - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) bertitah akan memantau secara langsung isu gangguan bekalan air yang semakin kerap berlaku di negeri itu, khususnya di daerah Pontian yang kini memasuki hari keempat tanpa air.

Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap masalah itu menerusi respon di platform X rasmi baginda, selepas satu akaun bernama ‘BrotherhoodJHR’ mengadu berkenaan gangguan bekalan air berpanjangan di kawasan berkenaan.

“Saya akan pantau dan cuba selesaikan dengan segera. Ini pentingnya kita jaga air Johor, aset Johor sendiri dan bukan berada di bawah syarikat yang dilantik oleh Federal (Persekutuan),” titah baginda.

Baginda turut memberi bayangan bahawa Kerajaan Negeri Johor berhasrat mengambil alih pemilikan aset air daripada syarikat yang dilantik Kerajaan Persekutuan.

“Doakan kewangan negeri meningkat di mana kita boleh beli saham air Johor dan meletakkan air negeri di bawah jagaan kerajaan negeri. Insya-Allah,” tambah baginda dalam hantaran sama.

Netizen Luah Rasa Kecewa

Susulan kenyataan tersebut, ribuan pengguna media sosial tampil meluahkan rasa kecewa terhadap gangguan air yang kerap berlaku, termasuk tekanan rendah dan kualiti air keruh di beberapa kawasan utama.

Seorang pengguna menulis:

“Terima kasih atas respon Tuanku. Pontian jarang bekalan air terputus tapi sejak Isnin, bekalan air kosong terutamanya waktu siang. Harap Tuanku boleh cari orang-orang yang terlibat dalam masalah ini dan tolong kita.”

Hantaran berkenaan telah meraih lebih 36,000 tontonan, 123 siaran semula, dan 539 tanda suka setakat jam 12.36 tengah hari ini.

Gangguan Air Berulang di Johor

Masalah bekalan air di Johor bukan isu baharu. Pada Mei lalu, gangguan besar berlaku selepas enam pam air mentah di Loji Rawatan Sungai Johor rosak akibat ditenggelami banjir kilat, memaksa operasi dihentikan.

Kesan gangguan itu mengakibatkan lebih 155,000 akaun pengguna, melibatkan sekitar 300,000 penduduk di Johor Bahru, terjejas selama beberapa hari — mencetuskan kemarahan ramai pihak.

Peningkatan tekanan terhadap kerajaan negeri dan operator air kini turut disusuli gesaan supaya aset air dikembalikan kepada kawalan penuh negeri, seperti yang dibayangkan Tunku Mahkota Ismail dalam titah baginda.

+ - reset