TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rumah bekas guru dipenuhi 32 tan sampah, MBJB jalankan operasi pembersihan khas

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 1 Ogos – Kediaman seorang bekas guru lelaki berusia lingkungan 70-an di Taman Sentosa, di sini, menjadi tumpuan selepas didapati dipenuhi kira-kira 32 tan metrik sampah pelbagai jenis yang dikumpulnya sejak puluhan tahun lalu.

Operasi pembersihan besar-besaran bermula Ahad lalu dijalankan hasil kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), SWM Environment, polis serta 35 sukarelawan, selepas kediaman dua tingkat itu menimbulkan rungutan jiran tetangga.

Ahli Majlis MBJB kawasan Taman Sentosa/Taman Pelangi, Sally Ng Lied Ying, berkata aduan mengenai rumah berkenaan telah diterima sejak 30 tahun lalu namun tindakan pembersihan sering tergendala kerana tiada kerjasama daripada pemilik rumah.

"Saya difahamkan oleh jiran-jiran, pak cik ini tidur di lorong belakang rumah pada waktu malam kerana rumah tidak boleh dimasuki akibat terlalu banyak sampah,” katanya kepada media.

Menurut beliau, rumah itu dipenuhi barangan buangan seperti peralatan elektrik rosak, tin berkarat, cawan pecah, kerusi reput, kasut lama, dan pelbagai barangan kitar semula yang sudah rosak dan tiada nilai pasaran.

Lebih membimbangkan, longgokan tersebut turut menjadi sarang kepada haiwan berbisa seperti ular, lipas dan tikus serta menimbulkan bau busuk yang mengganggu keselesaan penduduk.

Dakwa barangan bernilai RM8,000

Menurut Sally, usaha memujuk warga emas tersebut agar membenarkan pembersihan menyeluruh dilakukan berlanjutan selama dua tahun namun tidak berjaya kerana dia mendakwa barangan yang dikumpul bernilai RM8,000.

“Tetapi apabila diperiksa, semuanya sudah berkarat, rosak dan reput. Demi memuaskan hatinya, kami sukarelawan asingkan barangan kitar semula yang masih elok untuk dijual, namun hasilnya tak sampai RM1,000. Kami cukupkan jumlah itu dan serahkan kepadanya,” jelasnya.

MBJB akhirnya berjaya menjalankan pembersihan penuh selepas notis pengosongan dikeluarkan kepada lelaki tersebut dua minggu lalu.

Ada keluarga tapi tinggal bersendirian

Sally turut mendedahkan bahawa warga emas berkenaan mempunyai isteri warga Taiwan yang telah pulang ke negara asal serta tiga anak lelaki yang kini menetap di Singapura.

“Kami kini sedang berusaha memujuknya mendapatkan rawatan psikologi dan mempertimbangkan penempatan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jika tidak, masalah ini mungkin akan berulang,” katanya lagi.

Operasi pembersihan dijangka mengambil beberapa hari lagi untuk disempurnakan sepenuhnya dengan sokongan berterusan dari pelbagai pihak. - Media Telus

+ - reset