Berita Berita
'Tolong bantu kami' - Doktor gigi luah derita krisis air di Sabah, netizen kongsi pengalaman serupa

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Seorang doktor gigi wanita yang bertugas di Sabah meluahkan kesukaran yang dialaminya akibat gangguan bekalan air yang berpanjangan di tempat kerja dan di kediamannya.
Menerusi satu perkongsian di TikTok menggunakan akaun @ongonghuathuat, beliau memaklumkan hospital tempatnya bertugas sudah tiga hari mengalami ketiadaan bekalan air.
Video berdurasi 16 saat yang dikongsi menunjukkan beberapa sinki yang langsung tidak mengeluarkan air.
Luahannya menerima pelbagai reaksi, dengan ramai pengguna media sosial menyatakan bahawa situasi sedemikian adalah perkara biasa di Sabah.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut disanggah oleh doktor gigi itu sendiri yang menegaskan isu berkenaan tidak wajar dianggap normal.
"Air adalah keperluan harian. Tolong bantu kami. Masalah ini bukan berlaku sekali dua," katanya.
Dalam satu lagi video terkini, beliau memaklumkan bahawa bekalan air di hospital telah kembali pulih, namun isu kualiti air pula timbul di kediamannya.
“Meskipun di rumah ada air, tetapi airnya keruh. Warna coklat,” katanya sambil menunjukkan rakaman keadaan air paip di rumahnya yang jelas berwarna kecoklatan.
Krisis tersebut turut menarik perhatian netizen yang turut berkongsi pengalaman mereka mengenai masalah air yang sama di pelbagai negeri.
Seorang pengguna, Etty Johar menulis bahawa isu air tidak berkualiti bukan hanya berlaku di Sabah atau Kelantan, tetapi juga di Selangor.
“Rumah emak mentua di Kelantan airnya bersih sahaja. Tetapi air di Selangor ni lagi teruk dan ditambah dengan bau tidak menyenangkan,” katanya.
Lebih mengejutkan, seorang pengguna TikTok dengan nama Lizbelleza mendedahkan bahawa ada kalangan rakyat Sabah yang terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan asas harian.
“Kepada mereka yang tertanya-tanya bagaimana kami membuang air kecil dan besar, kami menggunakan air minuman atau mineral untuk kegunaan tandas.
"Ya, kehidupan di sini (Sabah) mahal. Ini berlaku di seluruh Sabah, ikut suka saja, kadang-kadang ada (bekalan air), kadang-kadang tiada,” katanya.
Beliau turut berkongsi kisah bagaimana kehidupannya sejak zaman persekolahan terpaksa bergantung kepada air tadahan atau tangki. Setiap pagi sebelum ke sekolah, beliau perlu mengangkat air dari luar rumah menggunakan baldi.
“Rupanya kepayahan itu tidak ternoktah di situ, ia berlarutan hingga ketika saya menyambung pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), keadaan masih sama, apabila tiada air, terpaksa angkut air daripada tingkat satu ke tingkat empat,” jelasnya.
Katanya, hanya ketika menetap di Kuala Lumpur antara tahun 2018 hingga 2023 barulah dia benar-benar menikmati hidup tanpa masalah air dan elektrik.
Turut menyuarakan kebimbangan adalah pengguna dengan nama Gadap83 yang mempersoalkan tahap keselamatan fasiliti kesihatan awam jika gangguan bekalan air terus berlarutan.
“Bahaya juga tiada air terutama di hospital,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Chef Ritchies menyatakan kekesalannya terhadap kualiti air yang keruh.
“Aduh, ini air teh tarik (warna teruk aliran paip),” katanya ringkas.
Berita berkaitan
August 8, 2025, 4:51 pm
Dua bulan lagi, Belanjawan 2026 bakal dibentang 10 Oktober depan
August 8, 2025, 4:40 pm
UiTM kekal fokus bantu bumiputera, henti terus kemasukan pelajar antarabangsa
August 8, 2025, 2:22 pm
Tetak polis dengan parang, pemotong rumput dipenjara lapan bulan
August 8, 2025, 1:48 pm
Polis minta anak Sosilawati tampil bantu siasatan kes terima bungkusan ganja dari Thailand
August 8, 2025, 1:05 pm