TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan risau, sekolah berasrama penuh masih selamat, KPM komited tangani isu buli' – Fadhlina

By
|
Kongsi
image


 

 

BUKIT MERTAJAM 8 Ogos - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan bahawa semua sekolah berasrama penuh di seluruh negara berada dalam keadaan selamat, sambil menegaskan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mempertingkat aspek keselamatan serta membina ekosistem pendidikan yang kondusif dan berimpak positif terhadap pembangunan pelajar.

“Saya ingin beri jaminan kepada ibu bapa bahawa sekolah-sekolah ini masih lagi selamat dan kita sentiasa mempertingkatkan soal keselamatan, serta melakukan penambahbaikan dalam semua aspek khsususnya dalam memastikan sekolah ini terus menjadi sekolah selamat, seterusnya memberikan impak kepada pendidikan anak-anak kita.

“Jadi jangan risau, KPM sentiasa tambah baik apa sahaja yang dilihat sebagai langkah-langkah untuk terus memperkukuh ekosistem sekolah berasrama kita,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik kepada 12 sekolah di Sekolah Sinar Harapan, di sini semalam.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada dakwaan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat pada Selasa lalu yang menyuarakan kebimbangan ramai ibu bapa di Sabah kini bimbang menghantar anak ke sekolah berasrama ekoran isu buli yang dikatakan semakin berleluasa.

Fadhlina menegaskan, isu buli tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama kolektif melibatkan semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, dan komuniti.

“Di peringkat KPM kami mengambil langkah pelbagai untuk mengatasi isu buli ini termasuk memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) di peringkat sekolah, memastikan keberadaan guru di sekolah pada setiap masa ketika waktu persekolahan bagi memastikan pemantauan itu dapat dipertingkatkan,” katanya.

Menurut beliau, 72 sekolah berasrama penuh (SBP) yang ada ketika ini masih menjadi pilihan utama ibu bapa untuk menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran kerana mutu pendidikan dan disiplin yang diterapkan.

Tambahnya, tindakan tegas turut diambil terhadap mana-mana pelajar yang terbukti melakukan salah laku buli termasuk penggantungan persekolahan. Sepanjang tempoh penggantungan itu, pelajar terbabit akan mengikuti program intervensi khas “Bangkit Bermaruah” di bawah kendalian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM sedang memperkukuh peranan kaunselor di sekolah dengan latihan dan pendedahan tambahan supaya mereka mampu mengenal pasti tanda-tanda awal pelajar yang menjadi mangsa buli atau berisiko terlibat dalam salah laku disiplin.

Langkah ini, katanya, penting bagi membolehkan intervensi dilakukan secara menyeluruh dan proaktif bagi memastikan kesejahteraan pelajar terus terpelihara di persekitaran sekolah.

+ - reset