TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

14 rumah setinggan, 4 kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Pantai Dalam

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Sebanyak 14 buah rumah setinggan dan empat premis kedai musnah dalam kebakaran besar yang berlaku di Jalan Pantai Dalam, di sini malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGO KL) memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian MERS999 pada pukul 11.11 malam.

Seramai 36 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Hang Tuah, Seputeh dan Sri Hartamas telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik pasukan tiba di lokasi, didapati kebakaran telah memusnahkan sebahagian besar kawasan rumah setinggan. Sebanyak 14 rumah terlibat dalam insiden ini dengan anggaran kemusnahan kira-kira 80 peratus,” menurut kenyataan hari ini.

Kebakaran itu turut merebak ke empat buah premis kedai berhampiran.

Antara yang terjejas adalah premis Mydin Mart di tingkat bawah dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus, manakala tingkat atas Pasar Raya Karnival musnah sepenuhnya dalam kebakaran.

Tiga lagi kedai di kawasan berhampiran juga mengalami kerosakan dengan anggaran kemusnahan sekitar 90 peratus.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Punca kebakaran masih dalam siasatan.

+ - reset