Berita Berita
Warga emas maut tak sempat solat Subuh berjemaah, motosikal ditunggang dirempuh kereta dalam perjalanan ke masjid

BALING 8 Ogos – Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan solat Subuh berjemaah seperti kebiasaannya tidak kesampaian apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam perjalanan menuju ke Masjid Kampung Guar Chempedak, Kuala Ketil, awal pagi tadi.
Mangsa, Jahaya Khamis, 63, yang juga Bendahari Masjid Kampung Guar Chempedak, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah dalam nahas tersebut.
Anak tirinya, Abdul Rashid Mohd Nayan, 36, berkata rutin Allahyarham setiap pagi adalah menunaikan solat Subuh di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.
"Rutin ayah akan menunaikan solat Subuh di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah, namun tak sangka hari ini adalah hari terakhir dia pergi ke masjid tetapi tidak sempat sampai."
Menurutnya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian dan telah dikejutkan oleh ibunya, Raba'ayah Abu Bakar, 58, seperti biasa untuk ke masjid.
"Tak lama selepas itu kami dikejutkan kemalangan yang menimpa ayah dan dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui.
Katanya lagi, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Chempedak selepas solat Asar.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali mengesahkan kejadian membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta Proton Wira.
"Penunggang motosikal mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Shafina Seeni Ibramsa di talian 016-3616786 bagi membantu siasatan. - Media Telus
Berita berkaitan
August 8, 2025, 4:51 pm
Dua bulan lagi, Belanjawan 2026 bakal dibentang 10 Oktober depan
August 8, 2025, 4:40 pm
UiTM kekal fokus bantu bumiputera, henti terus kemasukan pelajar antarabangsa
August 8, 2025, 2:22 pm
Tetak polis dengan parang, pemotong rumput dipenjara lapan bulan
August 8, 2025, 1:48 pm
Polis minta anak Sosilawati tampil bantu siasatan kes terima bungkusan ganja dari Thailand
August 8, 2025, 1:05 pm