Berita Berita
'Ada kesan lebam, luka melecet dan cedera otak' - Bayi 11 bulan maut dipercayai didera bapa kandung, ibu tiri di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU 10 Ogos – Polis menahan seorang lelaki dan isterinya yang juga ibu tiri kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan, selepas mangsa maut dipercayai akibat didera dalam kejadian di Kampung Banggol, Manir.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.05 petang, Sabtu lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menurut beliau, kejadian itu terbongkar pada 6 Ogos lalu kira-kira jam 1 tengah hari apabila seorang pegawai perubatan di Zon Merah HSNZ menerima pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada badan, muka dan leher mangsa.
“Berdasarkan hasil bedah siasat, mangsa didapati meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala berpunca daripada hentakan objek tumpul,” katanya di sini pada Ahad.
Azli memaklumkan, siasatan awal mendapati suspek pertama iaitu bapa kandung mangsa berusia 27 tahun, dan suspek kedua iaitu ibu tiri berusia 30 tahun mengaku pernah memukul mangsa menggunakan penyangkut baju berwarna hitam di bahagian betis.
“Sehari sebelum kejadian, mangsa dipercayai jatuh selepas memanjat pagar penyekat pintu bilik namun kembali aktif seperti biasa.
“Pada pagi kejadian 6 Ogos lalu, bapa mangsa keluar rumah meninggalkan mangsa bersama ibu tiri dan seorang lagi anak mereka. Ketika pulang sekitar jam 11 pagi, mangsa didapati sedang tidur.
“Sekitar jam 12 tengah hari, bapa cuba mengejutkan mangsa untuk diberi susu namun mendapati badan mangsa lembik. Suspek kemudian mengurut leher mangsa dengan alasan mengurut urat sawan, tetapi perbuatan itu menyebabkan kesan lebam di leher,” katanya.
Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Manir sebelum dirujuk ke HSNZ, di mana pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pelbagai kesan lebam, luka melecet serta kecederaan otak yang dipercayai bukan berpunca daripada kemalangan.
“Selain itu, terdapat kesan lebam lama dan baharu pada betis mangsa,” katanya.
Polis turut merampas satu penyangkut baju berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Suspek ditahan pada jam 10 malam selepas selesai pengurusan jenazah anaknya di Pusat Pengurusan Jenazah, Rhu Muda, Marang.
“Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Azli memaklumkan, anak sulung pasangan itu yang berusia tiga tahun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan penderaan kanak-kanak.
Berita berkaitan
August 12, 2025, 10:30 pm
Pemuda UMNO Terengganu mohon maaf siar grafik Jalur Gemilang tak cukup 14 jalur
August 12, 2025, 9:16 pm
Budak perempuan retak tempurung kepala dipercayai ditolak rakan, ibu rayu doa orang ramai
August 12, 2025, 8:28 pm
Pengasuh didakwa tampar pipi bayi tidak henti menangis hingga lebam di Batu Pahat
August 12, 2025, 5:56 pm
KPM tak beri muka, guru hisap vape, rokok di sekolah boleh didenda RM10,000 atau penjara 2 tahun
August 12, 2025, 5:51 pm
Bapa 6 anak di Melaka didakwa 52 pertuduhan sumbang mahram, rakam gambar bogel anak dalam bilik air
August 12, 2025, 5:32 pm
KPM komited perkukuh usaha tangani buli, terima 4 tuntuan memorandum #KeadilanUntukZara
August 12, 2025, 4:21 pm