TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jaga-jaga, ada pihak cuba raih populariti guna kes Zara Qairina - KPN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid menegaskan terdapat segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan meraih populariti melalui penularan maklumat tidak tepat berkaitan siasatan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.

Beliau berkata, tindakan individu tertentu menyebarkan isu berhubung kes itu melalui video pendek atau hantaran media sosial bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah turut mengganggu kelancaran proses siasatan.

“Saya khuatir ketika ini ada tindakan segelintir rakyat yang sentiasa inginkan populariti dengan mengeluarkan atau menularkan isu-isu berkaitan kes Zara melalui video pendek dan sebagainya.

“Tindakan ini sekali gus memberikan gambaran yang tidak betul tentang kes yang sedang berjalan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Khalid, siasatan polis sentiasa dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya berharap masyarakat dapat menerima tindakan yang dibuat pihak polis dalam memastikan ketelusan siasatan serta integriti pegawai PDRM dalam melaksanakan proses siasatan,” katanya lagi.

Semalam, seorang guru Bahasa Inggeris dihadapkan ke mahkamah selepas didakwa menyebarkan kenyataan palsu kononnya Allahyarham Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Wanita berkenaan didakwa membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang lain melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Untuk rekod, Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

+ - reset