TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

20 peratus penagih kembali menagih, AADK akui cabaran besar

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 27 Ogos - Sebanyak 20 peratus penagih yang menjalani rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dikesan kembali menagih, sekali gus menjadi cabaran besar dalam usaha memulihkan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, meskipun begitu kadar pemulihan kekal lebih tinggi iaitu 80 peratus, membuktikan keberkesanan rawatan dan pemulihan yang dijalankan.

“Bekalan pil kuda murah, serendah RM5 sebiji, menjadi faktor utama ramai terjerumus dalam penyalahgunaan dadah dan menyebabkan ada yang kembali menagih. Namun angka yang berjaya pulih lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas Op Perdana AADK Kelantan, semalam.

Beliau berkata, data sehingga 15 Ogos lalu merekodkan lebih 50,000 penagih menjalani pemulihan di bawah AADK sama ada melalui Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi.

“Di Kelantan sahaja, lebih 5,000 penagih berada dalam program PDK. Walaupun membolehkan mereka kekal dalam masyarakat, risiko untuk kembali menagih tetap tinggi kerana akses mudah kepada dadah sintetik,” jelasnya.

Op Perdana AADK Kelantan yang berlangsung selama empat hari bermula Ahad lalu melibatkan 90 pegawai dan anggota. Operasi tertumpu di Bachok, Pasir Mas, Kuala Krai serta beberapa kawasan berisiko di Kota Bharu.

“Hasilnya, 157 individu ditahan positif dadah, termasuk 152 daripadanya menggunakan methamphetamine atau pil kuda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) yang berkuat kuasa 22 Ogos lalu memberi kuasa lebih luas kepada AADK bagi menangani penyalahgunaan bahan termasuk gam dan ketum.

“Usaha pencegahan dan rawatan perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan sokongan ibu bapa serta komuniti,” katanya. - Media Telus

+ - reset