Berita Berita
'Ramai yang fikir lebih baik tak tahu, daripada tahu diri sakit' - Hanya 1.6 juta rakyat manfaat Peka B40

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Hanya 1.6 juta rakyat daripada kumpulan B40 menjalani saringan kesihatan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) sejak ia diperkenalkan pada 2019, walaupun skim itu ditawarkan kepada 6.9 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Ketua Jabatan Jaminan Kualiti ProtectHealth Corporation, Dr Muhammed Anis Abd Wahab, berkata skim ini menyediakan pemeriksaan asas percuma termasuk pemeriksaan fizikal, ujian darah dan air kencing serta dua sesi konsultasi bersama doktor.
Menurutnya, kadar penggunaan yang rendah mencerminkan budaya pencegahan masih belum diamalkan majoriti rakyat, khususnya dalam kalangan B40.
“Antara faktor yang dikenal pasti termasuk kekangan masa, keutamaan terhadap pekerjaan, kebimbangan mengenai kos rawatan, selain persepsi ‘lebih baik tidak tahu daripada tahu diri sakit’.
“Dalam program libat urus, ramai penerima mengakui kepentingan saringan, namun tetap enggan mengetahui status kesihatan kerana takut menanggung kos rawatan jika dikesan menghidap penyakit serius,” katanya.
ProtectHealth, anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), ditubuhkan pada 2016 bagi menyelaras pelbagai inisiatif pembiayaan kesihatan termasuk PeKa B40, Skim Perubatan MADANI dan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP).
Dr Muhammed Anis berkata, kebanyakan pesakit yang akhirnya mendapatkan rawatan di hospital dikesan berada pada tahap kritikal, sedangkan pencegahan awal mampu mengelakkan keadaan itu.
Beliau menegaskan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi kekal sebagai penyumbang utama kematian serta ketidakupayaan di Malaysia, namun ramai hanya mengetahui keadaan mereka ketika berada pada tahap serius.
“Berdasarkan kajian bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2017, penyakit NCD mengakibatkan kerugian antara RM100 hingga RM300 bilion setahun kepada ekonomi negara.
“Kehilangan produktiviti akibat NCD, sama ada kerana tidak hadir bekerja (‘absenteeism’) atau hadir tetapi kurang produktif (‘presenteeism’), dianggarkan menyumbang kerugian RM12.8 bilion setahun,” katanya.
Beliau berkata ProtectHealth kini memperluas pendekatan komuniti dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), klinik swasta dan pemimpin tempatan bagi meningkatkan kesedaran terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti individu berlebihan berat badan dan kurang aktif.
Menurutnya, PeKa B40 bukan hanya program kerajaan, sebaliknya usaha nasional untuk membendung krisis kesihatan senyap yang semakin meruncing.
Mereka yang layak menjalani saringan turut berpeluang menerima manfaat lain termasuk Insentif Bantuan Alat Perubatan, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser serta Insentif Tambang Pengangkutan.
Berita berkaitan
August 28, 2025, 8:05 pm
Beyond Education Malaysia raih Anugerah Kepimpinan Pendidikan Perubatan 2025
August 28, 2025, 6:36 pm
Felda umum FGV secara rasmi keluar Bursa Malaysia bermula hari ini
August 28, 2025, 6:17 pm
Gangguan elektrik di KLIA2 cemar imej negara - Anthony Loke
August 28, 2025, 5:54 pm
Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pencetus kebencian kaum, agama – Anwar
August 28, 2025, 5:28 pm
Tiga termasuk suami isteri mengaku salah amal ajaran sesat di Temerloh
August 28, 2025, 5:19 pm
Polis gempur pusat scam dalam talian di Bangsar, 400 individu kena angkut
August 28, 2025, 5:03 pm
RUU URA 2025 ditangguh, dibawa ke sidang akan datang
August 28, 2025, 4:55 pm