TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guru di Seremban didakwa cabul, liwat 2 pelajar perempuan OKU di sekolah

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 28 Ogos - Guru sekolah menengah di Rembau didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dan mencabul murid berkeperluan khas berusia 15 tahun, April dan Mei lalu. 

Menurut laporan Berita Harian, tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan 15 tahun tiga bulan ketika kejadian bagi tujuan seksual. 

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari di dalam kelas di sekolah berkenaan sekitar April 2025.

Tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama bagi tujuan seksual kira-kira jam 9.30 pagi ketika di dalam bilik spa sekolah sama pada 16 Mei lalu. 

Tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama seksyen 16(1) akta yang sama.

Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat

Tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi murid berkeperluan khas berusia 15 tahun bagi tujuan seksual kira-kira jam 10.40 pagi di bilik spa sekolah sama pada 5 Mei lalu. 

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi memohon wang jaminan sebanyak RM60,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan. 

Peguam P Bhaerabii yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya mengalami masalah gangguan keresahan dan semakin teruk selepas dituduh kali pertama pada Julai lalu. 

Menurutnya, anak guamnya sudah membayar jaminan pada pertuduhan yang lalu dan menunjukkan rekod kerjasama serta kehadiran yang baik.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan, dilarang mendekati saksi serta menyerahkan pasport. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September.

+ - reset