Berita Berita
'Dah periksa di MOTAC pun tetap kena tipu' - Syarikat umrah viral lesap, 92 jemaah rugi lebih RM500,000

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Seramai 92 jemaah umrah mendakwa kerugian berjumlah RM506,559 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pengendali pakej umrah yang aktif mempromosikan perkhidmatan melalui media sosial.
Syarikat terbabit dilapor menawarkan pakej harga murah dengan menggunakan selebriti sebagai duta, selain melantik ejen pemasaran yang mempromosikan iklan di TikTok dan Facebook.
Bagaimanapun, menurut pengadu, kebanyakan jemaah mendapati penerbangan yang dijanjikan tidak wujud, malah tiada visa diuruskan untuk mereka.
Ada juga yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dimaklumkan penerbangan tidak dapat disahkan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya menyerahkan surat representasi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara KPJ bagi meminta siasatan terhadap syarikat itu dipertimbangkan semula.
“Kami percaya syarikat ini melakukan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 420 (tipu), Seksyen 403 (menyeleweng dana) serta Seksyen 405 hingga 409 (pecah amanah).
“Sebahagian pengadu dimaklumkan kes dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac). Namun, tindakan hanya menggantung atau menarik lesen syarikat tidak adil kerana kerugian mangsa mencecah ribuan ringgit. Ini bukan isu melancong, tetapi melibatkan ibadah di Tanah Suci,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mendakwa syarikat itu pernah berjanji secara langsung di media sosial untuk memulangkan wang jemaah, namun selepas direman, pengarahnya menghilangkan diri dan gagal dihubungi.
Susulan itu, MHO merayu agar siasatan dipercepatkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan.
“Kami juga mahu polis menyiasat sama ada wang jemaah benar-benar digunakan untuk hotel, penerbangan dan visa, atau diseleweng untuk tujuan lain,” ujarnya.
Difahamkan, pejabat syarikat berkenaan kini ditutup manakala mangsa hanya mampu membuat laporan polis sebagai usaha terakhir menuntut keadilan.
Sementara itu, mangsa penipuan umrah, Intan, 33, bertambah kecewa apabila kerugian hampir RM20,000 selepas ditipu oleh syarikat pengendali pakej umrah biarpun sudah membuat semakan awal di laman web Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum menyerahkan deposit pada tahun lalu.
“Sebelum bayar deposit, saya dah semak di laman web Motac dan memang ada nama syarikat ini dalam senarai, jadi saya yakin.”
“Pada Disember, pihak syarikat minta bayaran penuh iaitu dua bulan sebelum penerbangan. Kami akur dan membuat bayaran. Pada Januari, kami sempat hadir kursus umrah, namun seminggu kemudian tular berita jemaah tidak dapat dihantar.
“Apabila cuba hubungi syarikat dan ejen, semua tidak lagi beri maklum balas. Saya sendiri rugi kira-kira RM20,000 melibatkan tiga ahli keluarga,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Hanna, 45, dari Selangor, berkata beliau bersama 17 ahli keluarga turut terjejas dengan kerugian hampir RM100,000.
“Kami sudah bayar penuh dan hadir kursus, tetapi selepas itu tular isu syarikat gagal menghantar jemaah. Sehingga kini, tiada sebarang perkembangan.
“Saya berharap pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dapat menyiasat segera kerana laporan sudah dibuat,” katanya.
Berita berkaitan
August 28, 2025, 8:05 pm
Beyond Education Malaysia raih Anugerah Kepimpinan Pendidikan Perubatan 2025
August 28, 2025, 6:36 pm
Felda umum FGV secara rasmi keluar Bursa Malaysia bermula hari ini
August 28, 2025, 6:17 pm
Gangguan elektrik di KLIA2 cemar imej negara - Anthony Loke
August 28, 2025, 5:54 pm
Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pencetus kebencian kaum, agama – Anwar
August 28, 2025, 5:28 pm
Tiga termasuk suami isteri mengaku salah amal ajaran sesat di Temerloh
August 28, 2025, 5:19 pm
Polis gempur pusat scam dalam talian di Bangsar, 400 individu kena angkut
August 28, 2025, 5:03 pm
RUU URA 2025 ditangguh, dibawa ke sidang akan datang
August 28, 2025, 4:55 pm