TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peniaga dakwa dirakam ketika mandi di rumah inap Manir, pekerja jadi suspek

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 28 Ogos – Seorang peniaga wanita mendakwa menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral apabila dirakam seorang lelaki ketika berada di dalam bilik mandi sebuah rumah inap di Manir, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 35 tahun dari Ampang, Selangor membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada Rabu jam 12.09 tengah hari.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam apabila mangsa ternampak tangan seseorang memegang telefon bimbit melalui cermin tingkap bilik mandi sebelum menjerit memanggil suaminya.

Pasangan itu cuba mengejar suspek yang melarikan diri menaiki motosikal selepas dilihat berlegar di kawasan rumah inap.

Mangsa dan suaminya yang menyewa inap itu selama empat hari dengan harga RM5,250 kemudian dimaklumkan bahawa suspek merupakan pekerja rumah berkenaan.

Menurut Azli, lelaki itu mengaku merakam video mangsa namun mendakwa sudah memadamkannya sebelum menyerahkan telefon bimbitnya kepada mangsa.

“Pemeriksaan mendapati tiada rakaman dalam telefon tersebut,” katanya.

Siasatan polis mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tidak menghala ke kawasan kejadian, selain tiada saksi lain yang melihat insiden.

Polis kini mengesan suspek berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video berdurasi 52 saat di media sosial yang memaparkan mangsa bertemu suspek berhubung kejadian tersebut. - Media Telus

+ - reset