TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga termasuk suami isteri mengaku salah amal ajaran sesat di Temerloh

By
|
Kongsi
image

MARAN 28 Ogos – Tiga individu termasuk pasangan suami isteri dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Tinggi Syariah Temerloh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengamalkan ajaran sesat bercanggah dengan fatwa.

Hakim Borhan Hussin menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap setiap tertuduh atau penjara setahun sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Yaaacob, 34, bersama isterinya, Noor Zaza Etira Zahanuddin, 26, didakwa mengamalkan doktrin ajaran The Ahmadi Religion Of Peace and Light yang bercanggah dengan hukum syarak dan fatwa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Jaya, Temerloh antara April 2024 hingga Jun 2025.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Mohd Fikhrillah Abdul Rahman, 37, bekas kakitangan Jabatan Kesihatan Pahang, turut didakwa atas kesalahan sama di Kuarters Kesihatan Tanjung Lalang, Temerloh antara 23 Oktober 2024 hingga 12 Jun lalu.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau enam sebatan atau denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarie Zaharah Abd Hamid bersama Pendakwa Syarie Mohd Kamal Yasir Hamid yang memohon hukuman berat dikenakan kerana kesalahan itu melibatkan pelanggaran hukum serta ancaman terhadap akidah umat Islam, selain menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berisiko mencetuskan perpecahan dan kekeliruan masyarakat.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan menyesal. Mereka kemudian membayar denda yang dikenakan.

Pada 5 Ogos lalu, ketiga-tiganya turut mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Temerloh kerana memiliki buku dan dokumen berkaitan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light yang difatwakan haram di Pahang. Mereka masing-masing didenda RM3,000 atas kesalahan tersebut.

+ - reset