TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gempa bumi kali ke-5 landa Segamat, masjid dan surau di Johor diarah solat hajat selepas solat Jumaat

By
|
Kongsi
image

 

 

JOHOR BAHRU 29 Ogos - Semua masjid dan surau Jumaat di Johor diarahkan mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Jumaat hari ini, susulan siri gegaran gempa bumi lemah yang berulang di Segamat sejak Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata usaha itu sebagai ikhtiar memohon perlindungan dan keselamatan seluruh negeri.

“Kami memohon jasa baik semua kariah masjid dan surau di Johor untuk melaksanakan solat hajat serta doa selamat, bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan negeri,” katanya.

Awal pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.4 magnitud berlaku di Segamat pada jam 4.24 pagi, menjadikan ia gegaran kelima sejak kejadian pertama.

Malam semalam, gegaran bermagnitud 2.5 direkodkan pada jam 7.56 malam di Segamat, manakala pada Rabu lalu gegaran 3.2 magnitud turut dikesan pada jam 8.59 pagi dengan getaran dirasai hingga ke selatan Pahang.

Kejadian pertama berlaku Ahad lalu apabila gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dikesan pada jam 6.13 pagi di Segamat, diikuti gegaran susulan 2.8 magnitud di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer dari Barat Laut Kluang.

+ - reset