TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JBPM Selangor nasihat waspada lelaki menyamar anggota bomba tipu duit orang ramai

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap seorang lelaki yang dikesan menyamar sebagai anggota bomba untuk memperdaya mangsa mendapatkan wang.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata suspek menghantar mesej melalui aplikasi TikTok kepada beberapa individu dengan mendakwa dirinya anggota bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar serta kononnya terdesak mahu meminjam wang.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek mendakwa boleh ditemui di BBP Kapar dan beberapa individu telah menghubungi balai berkenaan untuk mencarinya selepas ditipu,” katanya ketika dihubungi, Khamis.

Beliau berkata suspek bukan sahaja memperdaya individu, malah turut menyasarkan sebuah kedai makan yang sering dikunjungi anggota bomba di Kapar.

“Dia menghubungi premis itu untuk meminjam wang serta memberikan kod respons pantas (QR) atas namanya. Selain itu, suspek juga didakwa menghubungi empat kedai makan lain bagi membuat tempahan makanan palsu dengan menyamar sebagai anggota BBP Kapar,” jelasnya.

Menurut Wan Md Razali, laporan polis berhubung kegiatan lelaki tersebut sudah dibuat bagi siasatan lanjut.
 

+ - reset