TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar Tingkatan 4 di Seremban didakwa rogol rakan dalam kelas waktu pagi

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 29 Ogos – Seorang pelajar tingkatan empat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol rakan perempuannya berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Ampangan, Mei lalu.

Tertuduh lelaki berusia 16 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan dalam prosiding tertutup kerana statusnya sebagai pesalah bawah umur.

Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa kira-kira jam 7.20 pagi, pada 2 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, P. Rubini menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam akan dijamin oleh bapanya yang merupakan pesara tentera, sambil memohon jaminan lebih rendah.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 November depan.

+ - reset