TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengasuh didakwa abai dan lupus mayat bayi 12 bulan

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 29 Ogos – Seorang pengasuh wanita dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mengabaikan seorang bayi perempuan berusia 12 bulan serta melupuskan mayatnya, bulan lalu.

Tertuduh, Goh Mui Leng, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan dua hakim berbeza.

Di Mahkamah Sesyen yang dipengerusikan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, tertuduh didakwa mengabaikan bayi tersebut di sebuah rumah di Jalan Hijauan 2, Horizon Hills, Iskandar Puteri, pada 20 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Manakala di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, tertuduh didakwa melupuskan mayat bayi itu dengan niat menyembunyikan kematian dan melepaskan diri daripada hukuman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Jalan Mohd Salleh, Pekan Nenas, Pontian, pada jam 8 malam, 21 Julai lalu, mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli dan Shamira Mohd Luthfi Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Ismail Hafiz Iskandar Shah.

Peguam bela memohon jaminan lebih rendah dengan alasan tertuduh merupakan ibu tunggal yang menanggung dua anak berusia 10 dan 12 tahun, selain menjaga ibu berusia 64 tahun yang uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa dan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Oktober depan. - Media Telus

+ - reset