TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki maut dirempuh motosikal lawan arus di Sungai Udang

By
|
Kongsi
image

MELAKA 9 Okt. – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh penunggang lain yang dipercayai melawan arus di persimpangan lampu isyarat berhampiran Penjara Sungai Udang, malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa, Mohd Huzaimi Abdul Hamid, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Bertam Setia menuju ke tempat kerjanya di Loji Penapisan Sungai Udang sebelum bertembung dengan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Muhammad Arif Farhan Nawawi, 21, dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran kuat itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang satu lagi cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

+ - reset