TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes buli siber meningkat, SKMM terima lebih 35,000 aduan setakat Oktober

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 9 Okt. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima sebanyak 35,781 aduan berkaitan buli siber setakat 1 Oktober lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata daripada jumlah itu, 27,704 kandungan atau 77.5 peratus telah diturunkan daripada platform digital.

“Pada 2023, SKMM menerima 2,704 aduan dengan 1,763 kandungan diturunkan, manakala pada 2024 jumlah aduan meningkat kepada 11,385 dengan 8,756 kandungan diturunkan. Ini membuktikan buli siber semakin meluas dan memberi kesan besar kepada masyarakat, terutama golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Sembilan di SJK (C) Bandar Sri Sendayan, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, pendidikan digital dan kesedaran awam perlu diperkasa melalui kempen seperti KIS bagi membendung ancaman siber termasuk penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu dan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Teo berkata, 31 sekolah rendah di sekitar Seremban menyertai program berkenaan yang melibatkan 310 pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam, menjadikan Negeri Sembilan negeri pertama melaksanakan KIS di semua 479 sekolah rendah dan menengah.

+ - reset