TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada rekod Kampong Sungai Baru sebagai tanah rizab Melayu – Zaliha

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Kerajaan menegaskan tiada rekod rasmi menunjukkan Kampong Sungai Baru di ibu negara diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau tanah rizab Melayu, seperti didakwa beberapa pihak sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata perkara itu disahkan hasil semakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur, yang mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai sebarang sekatan pemilikan dan merupakan tanah pajakan selama 99 tahun.

“Tiada rekod rasmi menunjukkan tanah tersebut sebagai tanah MAS atau rizab Melayu, walaupun ia pernah disebut oleh Ahli Dewan Diraja Selangor, Tan Sri Ambrin Buang,” katanya pada sesi penerangan Hala Tuju Pembangunan Kampong Bharu di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Zaliha menjelaskan, pewartaan asal kawasan MAS hanya melibatkan 89.64 hektar, disahkan semula pada 26 Februari 1932, manakala pengisytiharan kawasan pentadbiran Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) adalah seluas 121.7 hektar, termasuk Kampong Sungai Baru yang berada di luar kawasan MAS.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan merangka dasar baharu bagi meningkatkan pemilikan Melayu dalam pembangunan semula Kampong Sungai Baru, termasuk melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarat rumah ganti yang hanya boleh dimiliki orang Melayu.

“Inisiatif ini akan memastikan kepelbagaian jenis pembangunan seperti kondominium, SOHO, rumah kedai dan ruang pejabat mampu milik Melayu, selain meneruskan projek Residensi MADANI dan Residensi Wilayah,” katanya.

+ - reset