TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di seluruh negara hingga 6 petang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan semua negeri di seluruh negara yang dijangka berterusan sehingga jam 6 petang ini.

Amaran itu melibatkan seluruh kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur.

Di Kelantan, kawasan terjejas termasuk Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.

Di Johor, ribut petir dijangka melanda Tangkak, Segamat, Muar, Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru, sementara di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Bagi kawasan Malaysia Timur, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei dan Meradong di Sarawak, serta Sibu, Mukah, Beaufort, Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Kudat di Sabah.

Menurut kenyataan MetMalaysia yang dikeluarkan pada jam 2.40 petang, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/jam) dan dijangka berlaku lebih daripada satu jam.

Amaran ini merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada, khususnya mereka yang berada di kawasan terbuka atau menjalankan aktiviti luar, berikutan risiko banjir kilat, pokok tumbang dan gangguan elektrik yang meningkat dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Pihak berkuasa tempatan turut digesa memantau kawasan berisiko dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya keadaan bertambah buruk.

Orang awam disarankan mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia atau aplikasi MyCuaca bagi mendapatkan maklumat amaran dan ramalan terkini.

+ - reset