TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemimpin seluruh dunia berhimpun, polis nasihat elak masuk KL jika tiada urusan penting

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada memasuki ibu negara antara 26 hingga 28 Oktober ini sekiranya tiada urusan penting, susulan pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijangka melibatkan kehadiran ramai pemimpin dunia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata penutupan dan lencongan jalan secara berkala akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pergerakan delegasi antarabangsa berjalan lancar sepanjang sidang berkenaan.

Menurut beliau, penutupan jalan telah dimulakan secara berperingkat sejak 17 Oktober lalu dan akan ditingkatkan menjelang serta sepanjang persidangan berlangsung, khususnya ketika majlis rasmi melibatkan ketua-ketua kerajaan dan delegasi luar.

“Orang ramai disarankan untuk mengelak kawasan pusat bandar tanpa urusan penting, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi memastikan kelancaran pergerakan sepanjang tempoh persidangan,” katanya pada sidang media selepas Raptai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Mohd Khalid berkata, antara laluan utama yang akan terkesan ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang dan Persiaran KLCC, manakala beberapa lebuh raya utama seperti Maju Expressway (MEX), ELITE, NKVE dan Guthrie Corridor Expressway (GUTHRIE) turut dijangka mengalami gangguan sementara.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan gangguan atau mengancam ketenteraman awam sepanjang persidangan berlangsung.

“PDRM akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengganggu keamanan.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan persekitaran serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis,” tegasnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan di KLCC dijangka menjadi tumpuan antarabangsa dengan kehadiran pemimpin utama Asia Tenggara serta rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China dan Jepun.

+ - reset