TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan bakal sita akaun bekas suami culas bayar nafkah — Menteri Agama

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt - Kerajaan sedang meneliti pelaksanaan langkah menyita akaun bank bekas suami yang gagal atau culas membayar nafkah seperti diarahkan Mahkamah Syariah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, usaha itu kini di peringkat pelaksanaan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), yang telah mengadakan perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM)bagi memperincikan mekanisme penyitaan menerusi perintah mahkamah.

“Yang ini akan dibuat oleh pihak BSK, dan perbincangan telah pun diadakan dengan Bank Negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN–Jerlun) yang ingin tahu mengenai mekanisme pemantauan antara BSK dan BNM bagi memastikan pelaksanaan sekatan akaun terhadap bekas suami atau bapa yang enggan menunaikan nafkah.

Mohd Na’im berkata, kerajaan turut memperkukuh pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah melalui pelbagai pendekatan undang-undang serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan penanggung nafkah.

Katanya, BSK kini melaksanakan kempen kesedaran kepada penanggung nafkah dalam kalangan waris, selain suami atau bapa, bagi memastikan tanggungjawab nafkah terhadap anak-anak dipenuhi seperti ditetapkan oleh hukum syarak.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan kini diperluas melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)bagi mengesan majikan serta alamat terkini penghutang penghakiman.

“Melalui pendekatan pelbagai seperti pendahuluan nafkah, bantuan tanpa kutipan balik, kemudahan transit serta penguatkuasaan tegas terhadap penghutang, kebajikan pemiutang penghakiman dapat terus dipelihara.

“Langkah jangka panjang ini bukan sahaja menjamin kesinambungan perkhidmatan BSK, malah memperkukuh sistem kehakiman syariah demi menjaga hak wanita, anak-anak dan kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam,” katanya.

+ - reset