TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fadhlina 'tak koyak' didesak letak jawatan, kritikan jadi pemangkin buat lebih baik

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 23 Okt - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan setiap kritikan dan desakan agar beliau meletakkan jawatan bukan sebagai tekanan peribadi, sebaliknya satu panggilan untuk memperkukuh tanggungjawab serta memperbaiki kelemahan dalam sistem pendidikan negara.

Menurut Fadhlina, dalam tempoh dua tahun memegang portfolio berkenaan, beliau sudah berdepan pelbagai cabaran dan persepsi, namun memilih untuk kekal fokus kepada usaha penambahbaikan berbanding melayan desakan peribadi.

“Bila kita pilih untuk jadi ahli politik, kita kena bersedia hadap semua. Dua tahun saya di sini, apa yang saya belum hadap? Jadi saya hadap sahaja, saya teruskan sebab bukan saya tidak buat kerja.

“Saya tahu banyak kelemahan, tetapi fokus kita masih soal penambahbaikan dan buat yang terbaik,” katanya dalam laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan Menteri Pendidikan bersama editor kanan media di sini, Khamis.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal sebelum ini menerima kritikan susulan dakwaan gagal menangani isu buli serta beberapa insiden tragis yang berlaku di kawasan sekolah.

Beliau turut menerima memorandum berkaitan isu keselamatan sekolah daripada sekumpulan pelajar, aktivis dan orang awam yang turut menggesa beliau meletakkan jawatan. Memorandum itu diserahkan di luar pagar Parlimen pada Rabu.

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan desakan agar beliau berundur tidak harus ditafsir sebagai kegagalan, sebaliknya isyarat agar beliau mempertingkat prestasi kementerian.

“Saya tidak anggap ‘call to resignation’ itu tanda kita gagal. Ia sebenarnya panggilan supaya kita buat lebih baik. Jadi kita kena sokong dan ambil itu secara positif,” ujarnya.

Dalam masa sama, Fadhlina turut berkongsi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatinya supaya kekal sabar dan tabah menghadapi cabaran, sambil mengingatkan bahawa beliau sendiri pernah berdepan ujian yang lebih besar ketika memegang portfolio Menteri Pendidikan suatu ketika dahulu.

+ - reset